ILMU bisa dipelajari dengan dua cara 1) Diamati 2) Diturunkan. Contoh kita mengamati sebuah kerusi, cara binaannya, kestabilannya, ukirannya lalu pulang kita cipta kerusi seumpamanya. Ilmu itu diperoleh dengan Cara mengamati. Keduanya ilmu yang diturunkan oleh seorang guru, sifu kepada muridnya. Dan sebaik baik ilmu itu adalah orang yang dikurniakan Hikmah oleh Tuhan.
…Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan
(Al-Mujadilah : 11)
Apakah Jenis -Jenis Ilmu yang harus diutamakan?
FARDHU AIN. RUKUN IMAN
Pertamanya tentulah Ilmu Fardhu Ain. Yang terbahagi kepada beberapa bahagian. Pertama Tauhid dan akidah, meliputi Rukun Iman. Apakah yang dikatakan beriman kepada Allah, Nabi dan Rasul, Kitab- Kitab, para Malaikat, Hari Akhirat dan Takdir (Qada-Qadar).
Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
(Surah An-Nisaa': 136)
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Surah Al-Hadid: 22-23)
RUKUN ISLAM
Kedua Ilmu Rukun Islam iaitu mengucap 2 kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa, membayar zakat dan mengerjakan haji. Bagaimana mengerjakan amalan rukun islam ini dengan sempurna.
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah An-Nisaa’: 103)
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.
(Surah Al-Baqarah: 183)
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.
(Surah Al-Baiyinah : 5)
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
(Surah Ali ‘Imran : 97)
Ketiga, Ilmu Fardhu Kifayah. Meliputi ilmu-ilmu yang lebih berpusat dalam kita mengamalkan kebaikkan dan kebajikkan kepada orang ramai, masyarakat dan negara. Orang yang paling banyak melakukan kebaikkan sesama manusia, adalah orang yang paling banyak amalnya. Kerana melakukan sesuatu atas kebaikkan manusia lain menuntut pengorbanan dan keihlasan diri. Setiap amal kebaikkan akan mendapat balasan kebaikkan samada dia beriman atau tidak. Ada orang yang meminta dunia, maka dia memperolehi kebaikkan itu didunia. Ada yang melakukannya kerana Allah, maka dia peroleh dua bahagian akhirat dan faedah faedah lain (diantaranya dunia).
ILMU-ILMU FARDHU KIFAYAH
Beberapa cabang Ilmu yang sangat penting untuk dipelajari oleh setiap manusia, terutamanya kanak-kanak dan remaja ( 7-17 tahun) . Ini kerana anak-anak muda yang memiliki cabang cabang ilmu ini, dapat hidup sempurna dan bertangungjawap dan disenangi masyarakat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mohonlah kalian kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah daripada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.” (Hadis Riwayat Abu Syaibah sebagaimana terkandung dalam Musannafnya).
Wahai manusia, Belajarlah ilmu ilmu yang bermanfaat kepada hidupmu. Wahai para guru ajarlah ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada manusia. Bukannya mengajar ilmu ilmu yang berakhir hanya dalam buku, akhirnya menjadi usang dan dimakan anai anai. Diantara ilmu-ilmu yang sangat penting:
1) PERSONAL CARE
Penjagaan diri adalah penting. Belajarlah bagaimana untuk menjaga dan membersihkan diri, penjagaan kulit, berpakaian mengikut syarak, merapi dan meriaskan diri serta Asas jahitan.
2) MAKANAN DAN NUTRISI
Orang yang mempunyai ilmu tentang manfaat dan bahaya makanan yang dimasukkan ke dalam perutnya dapat memelihara diri dari penyakit. Kerana kebanyakkan penyakit itu berpunca dari perut manusia. Belajarlah 1) manfaat dan bahaya makanan 2) had had pengambilan makanan 3) cara memasak yang sihat .
3) HOUSEKEEPING SKILLS
Belajarlah mengemas rumah, terhias rapi, bersih dari sampah, bersistematik dan mampu meringankan kerja orang sekeliling. Bagaimana untuk Menyusun alatan secara kemas dan bersistem contohnya Menyusun kasut, Menyusun alatan dapur, Mengemas bilik tidur. Menjaga kebersihan contohnya bagaimana membersih bilik air, Menangani sinki yang tersumbat. Menguruskan pakaian, mendobi, melipat baju dan menyusunnya didalam almari. Dan sebagainya
4) MEMBAIKI RUMAH
Belajarlah skill membaiki rumah, oleh itu mereka menyayangi rumah mereka, baiti jannati. Kebanyakkan manusia merungut dan merasa susah hati dengan rumah yang rosak tetapi tidak tahu bagaimana membaikinya. Belajar bagaimana untuk membuat aliran air, membancuh simen, menukar lampu, kerja kayu dan sebagainya.
5) SKILL PENGURUSAN MASA
Demi waktu manusia dalam kerugian. Belajarlah menguruskan masa menggunakan JADUAL WAKTU. Tetapkan, bila waktunya untuk beribadah, untuk membaca dan belajar, untuk bermain, untuk rehat dan membersihkan diri.
6) ADAB MENULIS
Menulis dengan akhlak yang mulia dan budipekerti. Susunan penulisan: pembukaan, isi kandungan, penutupan. Dan pemilihan perkataan perkataan yang mulia yang dapat meningkatkan kehormatan diri dan memuliakan orang yang membacanya, membuatkan yang berdosa bertaubat, membuatkan yang tidak berilmu mengetahui. Penulisan yang mudah, berkesan dan difahami.
7) BASIC FIRST AID
Belajarlah bagaimana untuk melakukan CPR, bagaimana untuk menghentikan pendarahan, cara-cara menangani orang kemalangan dan patah tulang, menurunkan suhu demam, merawat penyakit penyakit ringan seperti sakit kepala, selsema, sembelit, cirit, luka dan lepuh, terseliuh, gigitan serangga, tekanan darah tinggi, kolesterol, diabetes, gaut, sakit urat. Asas urutan. Belajarlah ilmu ilmu rawatan alternatif menggunakan herba herba yang ada disekeliling mereka.
8) PENGIRAAN DAN PENGURUSAN KEWANGAN
Setiap orang harus tahu asas pengiraan, tambah tolak, darab bahagi, mengenal jumlah jumlah duit. Selain itu, sangat penting mempuyai Ilmu pengurusan kewangan, menabung, nafkah, zakat, sedekah, bahagian duit untuk barangan dapur, untuk mencari ilmu, kebolehan untuk menyeimbangkan penghasilan duit dan penggunaan duit suapaya dapat mengelak hutang, bazir dan riba.
9) MENGHORMATI DAN MENGHARGAI DIRI SENDIRI/ EMOTIONAL INTELLIGENCE
Belajarlah menghargai diri sendiri. Allah sayang kepada makhluknya dan menetapkan kasih sayang pada dirinya untuk makhluk. Allah menciptakan manusia bebas dari penghambaan kepada selain diri Nya. Cukuplah hanya Allah untuk kita sebagai hamba Nya. Oleh itu engkau tidak menghambakan diri kepada dunia ini dan perhiasannya. Percaya terhadap kebolehan diri, Menetapkan nilai nilai positif, Mensyukuri nikmat Tuhan,
10) SKILL MENDENGAR DAN KOMUNIKASI
Belajarlah bagaimana untuk mendengar, dan bagaimana untuk berkomunikasi dengan berkesan. Diamlah, keran didunia ini ramai orang suka bercakap, tetapi jarang yang dapat mendengar, sekalipun mendengar suaranya sendiri. Allah menciptakan dua telinga, dan satu mulut. Bagi yang mampu berfikir, ianya supaya dengarlah dengarlah dan kemudian bercakaplah.
11) SKILL BERCUCUK TANAM
Belajarlah ilmu bercucuk tanam. Ini penting supaya dapat menghasilkan makanannya sendiri, tanpa perlu meminta simpati saat susah. Bagaimana menanam, menyiram, merawat, membaja. Membuat tapak semaian, jenis jenis tanah. Cara cara membuat baja organic, mengurai tanah. Kempen Satu Rumah Satu Kebun.
12) MENANGKAP DAN MENTERNAK HAIWAN
Digalakkan belajar memelihara haiwan ternakkan. Bagaimana menangkap ikan, menternak kambing lembu, menternak ayam itik. Bagaimana memerah susu, membuat cheese. Kempen Satu Rumah Satu Reban
13) TEKNOLOGI KREATIF
Belajarlah ilmu-ilmu tentang penggunaan teknologi bagi memudahkan pekerjaan dan leih berkesan. Contoh untuk membersihakan sampah, awalnya manusia menggunakn penyapu, kemudian vacuum dihasilkan untuk fungsi yang lebih baik. Jika mampu menghasilkan teknologi baru, itu satu tranformasi yang membawa kebaikkan kepada orang ramai.
14) MENJAGA DAN MEMBAIKI KENDERAAN
Belajarlah ilmu pengetahuan asas tentang penjagaan kenderaan, bagaimana menukar tayar yang kempis, cara betul membawa kereta dan sebagainya
Demikianlah 14 cabang ilmu-ilmu yang harus diajar kan pada anak-anak. Para ahli pada setiap cabang ilmu boleh mengembangkan ilmu ilmu itu menjadikan satu maklumat lengkap, praktikalnya dan cara penyampaiannya supaya ilmunya detail, mudah difahami dan berkesan kepada individu.

No comments:
Post a Comment